Extracted from
Malaysiakini
Menteri
Perhutanan Indonesia tuduh M’sia, China enggan kerjasama
May 9, 05 4:12pm
Menteri Perhutanan Indonesia MS Kaban menuduh Malaysia
dan China enggan bekerjasama dengan Indonesia dalam memerangi perdagangan haram
hasil perhutanan kerana kedua-dua negara itu didakwanya mengaut keuntungan
besar daripada kegiatan yang menyebabkan kemusnahan besar itu, demikian menurut
laporan akhbar harian The Jakarta Post
hari ini.
Kaban memberitahu akhbar itu bahawa kedua-dua negara sering
kelihatan cuba mengelak untuk mengadakan perjanjian yang kukuh dengan Indonesia
kerana ahli perniagaan mereka diandaikan mahu terus menerima produk haram itu
dari Indonesia.
"Pembalakan haram bukan sahaja berhubungkait dengan
negara asal produk itu tetapi juga negara penerimanya. Ahli perniagaan dari
China dan Malaysia terus mencari produk perhutanan kita, tidak kira sama ada ia
diperoleh secara haram ataupun sebaliknya," beliau dipetik sebagai
berkata.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kedua-dua negara itu enggan bekerjasama secara
serius dengan Indonesia kerana ia membabitkan industri yang bernilai berbilion
dolar dan membantu menyerap tenaga kerja di negara masing-masing.
Menurut laporan itu, Kementerian Perhutanan Indonesia
menganggarkan perdagangan haram hasil perhutanan dari Indonesia ke China,
terutama kayu balak mentah, sepanjang beberapa tahun lepas berjumlah kira-kira
sembilan juta meter padu bernilai Rp18 trilion (AS$1.88 bilion).
Laporan itu, yang disiarkan di halaman perniagaan akhbar
itu, berkata China juga berkeras mengatakan bahawa ia menerima kebanyakan
produk itu dari Malaysia dan bukan dari Indonesia.
Gagal capai kata sepakat
Kaban memberitahu akhbar itu bahawa bertentangan dengan
dakwaan China itu, produk perhutanan haram dari Indonesia selalunya
diseludupkan ke Malaysia atau Singapura, dan kemudiannya dihantar dengan kapal
ke Hong Kong untuk "disahkan mengikut undang-undang" sebelum dihantar
ke destinasi sebenar di tanah besar China.
Indonesia dan China bulan lalu menandatangani perjanjian
perkongsian strategik yang bertujuan mempertingkatkan hubungan dua hala.
Bagaimanapun kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat
mengenai satu perjanjian penting bagi menentang perdagangan haram produk
perhutanan disebabkan perbezaan persepsi dan definisi mengenai perdagangan
haram, menurut akhbar itu.
Ia berkata, Indonesia juga menghadapi masalah untuk
menandatangani perjanjian serupa dengan Malaysia yang mendakwa kemasukan kayu
balak haram dan produk perhutanan lain ke negara itu adalah berpunca daripada
"kelemahan penguatkuasaan" di pihak Indonesia sendiri.
"Kita juga menghadapi masalah serupa dengan Malaysia
mengenai definisi perdagangan haram. Rundingan kita telah terbantut sejak
beberapa tahun kerana perbezaan pendapat ini yang mungkin tidak dapat
diselesaikan dalam tempoh yang terdekat ini," Kaban dipetik sebagai
berkata.
"The Jakarta Post" juga melaporkan Kaban sebagai
berkata, China dan Malaysia bagaimanapun pernah sekali dahulu menawarkan cara
kepada Indonesia untuk mencegah penyeludupan hasil perhutanannya ke luar negara
iaitu dengan mengkategorikan sejumlah pokok yang berasal dari Indonesia sebagai
spesies yang diancam kepupusan di bawah rangka Pertubuhan Perdagangan
Antarabangsa (WTO).
Satu daripada spesies pokok yang dicadangkan dimasukkan ke
dalam kategori Apendiks 3 WTO itu ialah intsia palembanica atau dikenali dengan
nama tempatannya "merbau" yang diperdagangkan pada harga
sekurang-kurangnya AS$315 semeter padu, yang menurut kementerian itu merupakan
jumlah terbesar kayu balak Indonesia yang diseludupkan ke China, tambah laporan
itu.
Indonesia telah mengharamkan pengeksportan kayu balak
mentah sejak 2003.