Extracted from Utusan Malaysia

Kaji masalah pemilikan tanah Orang Asli

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Masyarakat Orang Asli mahu kerajaan memandang serius dan mengkaji masalah pemilikan tanah Orang Asli di Semenanjung dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Wakil Orang Asli dari Perak, Tijah Chopil juga mahu kerajaan menjalankan kajian teliti khususnya kesan sosial terhadap masyarakat itu sebelum membangunkan sesuatu projek pembangunan di kawasan masyarakat itu.

Katanya, antara kesan pembangunan paling teruk dirasai ialah kehilangan hak ke atas tanah yang diduduki sejak beberapa generasi dan kemusnahan pelbagai khazanah alam semulajadi mereka.

“Memang telah ada akta (Akta 134) namun ia sekadar memberi hak menduduki dan keadaan itu menyukarkan pemberian hak tanah kepada Orang Asli dan sekaligus membataskan pembangunan ekonomi kami,” katanya pada sidang akhbar selepas bengkel Hak Tanah Hak Asli bertemakan ‘Mengenang Rakyat Yang Membina Negara’ di sini, hari ini.

Akta 134 adalah Akta Perizapan Tanah Orang Asli, sebagai tambahan kepada Akta Orang Asli 154 pindaan 1974 yang memberi perlindungan hak tanah kepada Orang Asli dan perkara berkaitan dengannya.

Wakil Institut Sumber Borneo Malaysia (Brimas), Mark Bujang pula meminta kerajaan mengamalkan pendekatan yang lebih sesuai terhadap semua hak tanah Orang Asli dan Orang Asal dengan mengisytiharkan tanah mereka sebagai tanah rizab.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengakui bahawa kami (Orang Asli dan pribumi) adalah golongan yang mempunyai nilai tersendiri tetapi tidak mampu mempertahankan diri dan sewajarnya tanah serta budaya kami perlu dilindungi,” katanya.

– Bernama