DEKLARASI

PERAYAAN GAWAI KELINGKANG : NERABAI MENOA 1999

KAMI, seramai lebih daripada 2,000 orang wakil-wakil dan peserta-peserta dari pelbagai masyarakat rumah panjang Dayak di seluruh Sarawak bersama-sama Pertubuhan Penduduk Pribumi (IPOs), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan perwakilan organisasi antarabangsa yang menghadiri Perayaan Hari Gawai Kelingkang : Nerabai Menoa 1999 - bertema "Meningkatkan Komitmen Masyarakat Dayak Dalam Mempertahankan Hak Tanah Adat", yang diadakan di Rumah Lipu, Sungai Bawang, Balingian, Daerah Mukah, Bahagian Sibu, Sarawak pada 21hb November 1999.

Kami telah menyuarakan tentang pelbagai isu dan masalah yang dikenalpasti dan sedang kami hadapi seperti berikut :

  1. Tanah adat adalah nyawa dan darah kami. Ia adalah satu-satunya harta pusaka dan warisan milik masyarakat kami yang diwarisi mengikut adat resam sejak turun temurun. Masalah yang kami hadapi sekarang ialah pengalihan milik, pengambilan tanah dan penghapusan hak tanah adat kami oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk tujuan projek-projek infrastruktur, pembangunan ekstraktif dan skim pertanian besar-besaran oleh syarikat-syarikat swasta dan/atau agensi-agensi Kerajaan;
  2. Tanah adat masyarakat Dayak di seluruh Sarawak telah disasar untuk program pembangunan tanah secara komersial oleh Kerajaan Negeri yang bersembarangan mengeluarkan lesen-lesen, geran-geran dan/atau geran hak milik sementara (Provisional Lease) kepada golongan elit, politikus, agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang melibatkan tanah adat kami tanpa pengetahuan dan persetujuan kami;
  3. Kawasan tanah adat kami dibuka sembarangan di bawah rancangan dasar pembangunan tanah adat dengan menggunakan "Konsep Baru" untuk perlaksanaan estet kelapa sawit oleh agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) serta syarikat-syarikat swasta tanpa kebenaran dan persetujuan dari masyarakat kami;
  4. Program pembangunan tanah adat yang berlandaskan "Konsep Baru" adalah proses pengambilan dan penghapusan hak tanah adat masayarakat Dayak. Kami mengutuk dan menentang keras perlaksanaan program pembangunan sebegini yang hanya mengutamakan dan melindungi kepentingan-kepentingan dan keuntungan golongan elit, kapitalis, pelabur-pelabur asing dan syarikat-syarikat swasta untuk mendapatkan tanah secara besar-besaran dan membolot kekayaan sumber yang terkandung dalam kawasan tanah adat kami;
  5. Ratusan-ribu hektar tanah adat masyarakat Dayak di kawasan Bintulu-Balingian terjejas akibat perlaksanaan ladang kayu akasia besar-besaran oleh Borneo Pulp and Paper Plantation Sdn. Bhd. dan mengancam kehidupan dan hak tanah adat penduduk-penduduk rumah panjang dalam kawasan berkenaan;
  6. Pembalakan yang masih beroperasi dengan pesat di merata-rata Sarawak terutamanya dalam kawasan tanah adat minimbulkan banyak masalah dan menambahkan lagi keperitan hidup masyarakat Dayak yang bergantung kepada sumber-sumber hutan untuk kehidupan mereka seharian. Kegiatan pembalakan telah memusnahkan hutan simpan komuniti ("Pulau Kunsi") serta sumber-sumber asli masyarakat kami dan mengakibatkan kepupusan binatang liar serta pencemaran alam sekitar.
  7. Dalam nama "pembangunan" masyarakat Dayak di Sarawak ditindas dan harta-benda dimusnahkan, hutan kami diterokai oleh syarikat pembalakan, hak tanah adat kami dihapus dan tanah kami dirampas untuk perlaksanaan "Konsep Baru", ladang pulpa dan sebagainya. Pembangunan yang dijalankan dalam kawasan masyarakat Dayak tidak memberi kemajuan dan keuntungan kepada kami tetapi sebaliknya ianya membawa penderitaan dan pelbagai masalah serta memusnahkan cara hidup dan alam sekitar kami; dan
  8. Usaha-usaha rakyat untuk menentukan pembangunan sendiri serta mengurus dan melindungi hutan dan sumber-sumber secara komunal dan berkekalan (sustainable) yang diamalkan sejak dari dulu lagi serta boleh menjamin peningkatan taraf sosio-ekonomi kami tidak disokong oleh Kerajaan atas kepentingan-kepentingan tertentu. Maka Kerajaan tanpa mendapat izin dari masyarakat kami mengeluarkan lesen-lesen/geran-geran kepada golong elit, ahli politikus, syarikat-syarikat swasta dan/atau agaensi-agensi Kerajaan yang hanya berkepentingan untuk meragut keuntungan sahaja dengan mengeksploitasikan tanah, hutan dan sumber daya dalam wilayah kami tanpa persetujuan dari masyarakat-masyarakat kami.

 

DENGAN INI, kami menyatakan kenyataan-kenyataan seperti berikut :

  1. Menyeru Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah sempadan tanah adat dengan merintis dan menanda sempadan "menoa" tanah adat bagi tiap-tiap kampung/rumah panjang masyarakat Dayak dan rekod sempadan tersebut harus diberi kepada masyarakat berkenaan dengan satu salinan disimpan oleh jabatan Kerajaan berkenaan untuk rujukan bersama;
  2. Meminta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak atau agensi-agensinya, syarikat-syarikat swasta dan pelabur-pelabur asing untuk mengadakan perundingan secara terbuka dan terperinci dengan masyarakat kami sebelum melaksanakan sesuatu projek pembangunan yang melibatkan tanah adat dan persekitaran kami. Pandangan dan pendapat kami samada projek berkenaan disokong atau tidak haruslah dihormati;
  3. Menyatakan sekali lagi seruan kami kepada pihak Kerajaan untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah yang ada dengan syarikat-syarikat pembalakan yang beroperasi di dalam tanah adat kami kerana operasi pembalakan sebegini mengancam hak tanah adat, hutan dan sumber daya kami serta menyebabkan kesengsaraan kepada kehidupan masyarakat Dayak;
  4. Sekali lagi kami meyarankan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membeku dan menarik-balik segala lesen-lesen pembalakan yang telah dikeluarkan di mana ia melibatkan tanah adat dan hak kami, dengan itu semua kegiatan pembalakan di kawasan tanah adat kami dihentikan dengan segera sehingga resolusi dan persetujuan sepakat telah dimeterai di antara semua pihak;

  5. Menyedarkan Kerajaan bahawa projek dan program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di seluruh bahagian di Sarawak akan merosakkan alam sekitar lalu ini akan mengakibatkan bencana meluas kepada rakyat, terutamanya masyarakat Dayak di kawasan pendalaman;
  6. Memaklumkan kepada Kerajaan bahawa masyarakat kami menolak skim perladangan besar-besaran dan project mega-infrastruktur yang meliputi tanah adat kami dan kemusnahan ke atas hutan dan sumber-sumber biologi serta alam sekitar kami akibat daripada industri ekstraktif. Kami menolak segala program pembangunan pemuliharaan di dalam "menoa-menoa" kami yang bertujuan untuk merampas dan mengancam hak dan tanah adat kami. Tanah adat kami haruslah dikecualikan daripada jenis aktiviti-aktiviti dan program-program pembangunan besar-besaran yang merosakkan sebegini;
  7. Menggesa Kerajaan untuk membekalkan semua laporan kajian dan maklumat tentang rancangan projek pembangunan yang akan dilaksanakan di dalam "menoa" kami untuk dikemukakan dan diteliti terlebih dahulu oleh kami demi menentukan bahawa hak dan kepentingan kami tidak terjejas dan segala maklumat projek yang sedang dijalankan di dalam tanah adat kami haruslah dikemukakan kepada kami juga;
  8. Menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk menghentikan perlaksanaan "Konsep Baru" yang melibatkan tanah adat kami kerana konsep sebegini merupakan suatu ancaman besar kepada hak-hak kepada tanah adat, sumber-sumber biologi dan alam sekitar kami yang tidak tercemar;
  9. Menggesa Kerajaan Malaysia supaya membatalkan projek-projek infrastruktur besar-besaran yang memindahkan masyarakat pribumi dari kawasan tanah pusaka mereka dengan itu Projek Empangan Hidro-elektrik Bakun yang pembinaanya tertunda dibatalkan terus;
  10. Menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk menggantung dan menghentikan rancangan untuk menubuhkan segala project-project industri yang akan membawa bencana serta pencemaran yang tinggi lalu mengancam kehidupan masyarakat tempatan dan alam sekitar seperti Kilang Melebur Aluminium dan Kilang Kertas dan Pulpa di Bintulu;
  11. Menyeru kepada badan keselamatan dan pihak polis untuk bertindak secara professional dan adil dalam menjalankan tugas. Segala laporan berkenaan dengan pencabulan hak asasi manusia, pencerobohan dan kerosakkan ke atas tanah adat serta sumber-sumber kami yang diadukan kepada polis haruslah disiasat dengan segera serta tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak-pihak yang berkenaan. Pihak berkuasa haruslah menghormati tindakan masyarakat Dayak dalam mempertahankan tanah adat, harta-benda, sumber-sumber dan persekitaran mereka daripada terus diceroboh, dirampas dan dimusnah oleh syarikat-syarikat swasta, agensi-agensi pemaju dan/atau pihak-pihak lain;
  12. Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghormati hak asasi masyarakat kami dan pihak polis haruslah menghentikan tindakan penangkapan dan penahanan yang tidak berasas ke atas masyarakat kami; dan

  13. Meminta Kerajaan memberi perhatian yang serius, menyokong dan menggalak rakyat untuk menentu dan mengusahakan pembangunan berterusan dan berkekalan (sustainable) yang boleh menjamin masa depan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka tanpa menjejas dan memusnahkan alam semulajadi dan persekitaran.

MAKA KAMI dengan sebulat suara mengangkat tangan beramai-ramai dengan sorakkan untuk menyatakan dan menandakan persetujuan dan sokongan kami kepada resolusi ini.

Bertarikh 21 Haribulan November 1999